Rabu, 13 Februari 2008

KHUTBAH


HINDARI 4 CIRI MASJID DHIRAR

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 107dan 108 surah al-Taubah :

والذين اتخذوا مسجدا ضرارا وكفرا وتفريقا بين المؤمنين وإرصادا لمن حارب الله ورسوله من قبل وليحلفن إن أردنا إلا الحسنى والله يشهد إنهم لكــذبون . لاتقم فيه أبدا لمسجد أسس على التقوى من أول يوم أحق أن تقوم فيه فيه رجال يحبون أن يتطهروا والله يحب المطهرين

Maksudnya : Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) kekufuran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:" Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata ". Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta. Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), lebih patut engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan ( mensucikan ) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)


Kita kini telah berada dalam bulan Rejab antara bulan haram yang sentiasa dihormati semenjak dahulu lagi. Bulan Rejab pernah mencatatkan beberapa peristiwa penting dalam kalendar umat Islam terutama yang paling masyhur ialah pada bulan ini telah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj. Tidak ketinggalan juga untuk umat Islam mengingati suatu lagi peristiwa yang amat penting ialah peperangan Tabuk yang berlaku pada bulan Rejab tahun 9H. Peperangan Tabuk meletus apabila Rasulullah s.a.w menerima berita tentang pembunuhan Farwah bin 'Amru Al-Jazami yang merupakan salah seorang ketua yang dilantik oleh Rom bagi kawasan Ma'an di mana beliau telah dibunuh dengan direbus di dalam kawah air panas apabila Rom mengetahui dia telah memeluk agama Islam dan merupakan wakil kepada nabi Muhammad S.A.W di dalam mengerjakan dakwah Islamiah di sana. Setelah mendapat tahu tentang pembunuhan yang kejam itu lalu Rasulullah S.A.W dalam masa yang singkat telah mengerahkan agar para tentera Islam untuk keluar berjihad ke Tabuk dengan menjelaskan kepada mereka tujuan tersebut secara terang-terangan di mana baginda berjaya mengumpulkan 30 000 orang tentera. Ini merupakan suatu tindakan tegas yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dalam menjaga maslahat umat Islam daripada dirobek dan dilanggar sesuka hati oleh musuh Islam. Dalam peperangan Tabuk ini tidak berlaku pertempuran yang besar kerana tentera musuh lebih dahulu berundur diri. Kemenangan yang agak mudah walau pun menghadapi banyak kesukaran ketika mahu keluar ke Tabuk ini telah digunakan sebaiknya oleh Rasulullah s.a.w dengan meluaskan pengaruh dakwah kepada raja-raja sekitar kawasan tersebut serta menghantar beberapa orang pendakwah untuk menyampaikan dakwah ke kawasan yang lebih jauh. Oleh itu fahamilah kita bahawa peperangan dalam Islam bukannya untuk meletuskan sebarang keganasan atas asas membalas dendam sebaliknya bertujuan untuk menjaga maslahat umat Islam daripada diceroboh serta menyampaikan misi dakwah bila musuh tidak melawan dan menyerah diri.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Tidak dapat dinafikan bagaimana Rasulullah s.a.w telah berhadapan dengan beberapa golongan dari kalangan umat Islam sendiri yang telah menimbulkan sedikit kesulitan ketika mahu keluar ke Tabuk. Antara puak yang paling bahaya ialah golongan yang menjadi musuh dalam selimut iaitu golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai. Golongan munafik ini dibahagi kepada tiga kumpulan yang mana kumpulan pertama akan mempengaruhi tentera Islam yang lain agar tidak turut serta dalam peperangan ini dan mereka sendiri tidak menyertainya. Kumpulan kedua pula akan memecahkan kesatuan dalam tentera Islam yang bertujuan mengkhianati Rasulullah S.A.W. Manakala golongan ketiga pula terdiri daripada mereka yang menunggu kepulangan Rasulullah s.aw untuk merasmikan masjid yang bina oleh golongan munafik dikenali dengan Masjid Dhirar

Suka di sini untuk menyentuh mengenai sebuah masjid yang di bina oleh golongan munafik yang diketuai oleh Abu ‘Amir ar-Rahib yang digelar oleh Allah sebagai masjid Dhirar. Masjid ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam ayat 107 surah at-Taubah yang telah dibaca pada awal khutbah tadi mempunyai 4 ciri buruk yang membezakannya daripada masjid yang dibina atas asas taqwa seperti Masjid Quba’. Ciri pertama yang ada pada masjid Dhirar ialah mendatangkan kemudharatan terhadap ummah, kedua untuk mengkufurkan kaum muslimin, ketiga untuk memecahbelahkan perpaduan di kalangan umat Islam dan keempat ia menjadi pusat intipan untuk memerangi Allah dan rasulNya.

Cuba kita bayangkan bagaimana jahatnya golongan munafik di mana sanggup mempergunakan masjid untuk kepentingan mereka bukannya untuk memperkasakan lagi kekuatan umat Islam dalam mengembangkan dakwahnya yang suci. Jika masjid yang dibina bukan atas taqwa serta mendatangkan keburukan kepada umat Islam telah diarahkan agar diruntuhkan oleh Allah lalu dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w apatah lagi tempat yang lain yang dibina untuk menghancurkan kekuatan umat Islam serta menjadi tempat untuk melakukan maksiat kepada Allah seperti kelab malam, pusat judi, kedai arak maka ia lebih utama untuk diruntuhkan. Cuma cara meruntuhkan tempat sarang maksiat ini mengikut kebijaksanaan pemerintah samada meruntuhkan bangunan atau melalui tindakan undang-undang dan perlesenan yang ketat.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Namun begitu pada masa kini kita perlu berhati-hati sebelum menuduh sesebuah masjid itu merupakan masjid Dhirar yang mesti diruntuhkan kerana ia perlu diteliti dari setiap sudut bukannya atas asas dendam dan marah semata-mata. Oleh itu kita mengutuk perbuatan merobohkan sebuah surau di Selangor beberapa bulan lepas atas alasan ia adalah masjid Dhirar. Jika kita perhatikan kepada ciri yang telah ditunjukkan oleh Allah maka surau itu tidak mempunyai ciri tersebut sebaliknya atas hasutan nafsu maka mereka sanggup mengenepikan wahyu. Jika di atas sesebuah masjid adanya suatu kuliah yang menegur kesesatan dan kezaliman pemimpin bukan bererti ia bertujuan memecahbelahkan umat Islam tetapi itulah antara fungsi masjid iaitu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah sebarang kemungkaran, membeza antara hak dan batil, antara kebenaran dan kesesatan, antara keadilan dan kezaliman. Khalifah Islam dahulu sentiasa menggunakan masjid untuk menegur rakyat dan menggunakan masjid yang sama untuk memberi peluang kepada rakyat untuk menegur sebarang kesilapan pemimpin. Tetapi pada hari ini apabila masjid dihadkan peranannya telah menyebabkan sebarang usaha dalam menyebarkan ajaran Islam yang menyeluruh terbantut. Tindakan pemimpin yang jarang ke masjid turut menyebabkan masjid tidak lagi dijadikan suatu tempat dalam memperbetulkan sebarang kesilapan atau kesalahan antara rakyat dan pemimpin secara terbuka. Kita dapat lihat kepada kesan pembangunan yang pernah dilakukan oleh Sultan Melayu dahulu di mana kebanyakan istana mereka didirikan berhampiran dengan masjid agar ikatan antara pemimpin dengan masjid tidak terlalu jauh. Apabila pemimpin dekat dan tidak liar daripada masjid maka rakyat di bawah turut mengikuti jejak langkahnya sebaliknya jika pemimpin sendiri agak jauh daripada masjid maka rakyat turut jauh daripadanya. Sedangkan Rasulullah s.a.w telah memberi semangat kepada umat Islam yang sentiasa terikat hati mereka dengan masjid di mana mereka akan tergolongan dalam golongan yang bakal diteduhi bayangan ‘Arasy Allah pada hari akhirat nanti.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Amat malang apabila masjid hari ini begitu dikawal ketat lebih daripada pusat maksiat sehingga ia banyak memberi kesan kepada pembinaan insan itu sendiri. Kita ingat kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaki yang bermaksud : Akan datang suatu zaman di mana tidak tersisa daripada Islam kecuali tinggal namanya sahaja. Tidak tersisa daripada al-Quran kecuali tulisannya. Masjid-masjid mereka megah dan cantik tetapi jauh daripada petunjuk Allah…..

Firman Allah dalam ayat 109 dan 110 surah al-Taubah:

أفمن أسس بنيــنه على تقوى من الله ورضون خير أم من أسس بنيــنه على شغا جرف هار فانهار به فى نار جهنم والله لايهدى القوم الظــلمين . لايزال بنيــنهم الذي بنوا ريبة فى قلوبهم إلا أن تقطع قلوبهم والله عليم حكيم

Maksudnya : Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersamanya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Bangunan-bangunan yang mereka dirikan itu sentiasa menjadi pangkal keraguan dalam hati mereka kecuali bila hati mereka telah hancur. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْن


َ

0 comments: