Exco kanan kerajaan Pahang bakal digugur
Basiron Abdul Wahab - http://www.harakahdaily.netSun | Feb 10, 08 | 12:01:39 pm MYT
TEMERLOH 10 Feb (Hrkh) – Umno Pahang dijangka akan menggugurkan sekurang-kurang seorang exco kanan Kerajaan Negeri dalam pilihan raya umum akan datang.
Menurut sumber, anggota exco yang bakal digugurkan itu mempunyai perkhidmatan yang rekod buruk kerana terlibat dalam pelbagai kes salah guna kuasa.
Beliau juga menghadapi kes saman di Mahkamah Tinggi Temerloh, Shah Alam dan dan Mahkamah Sesyen Raub.
Difahamkan anggota exco terbabit juga mempunyai enam laporan polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang dibuat oleh penduduk Raub, namun setakat ini kedudukannya tidak terjejas dan dianggap kebal.
Situasinya hampir sama seperti Zakaria Md Derus, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Klang, Selangor.
Laporan polis terbaru dibuat pada 24 Januari lalu oleh seorang peniaga bernama Razali Hassan, No Repot RAUB 000199/08.
Dalam laporan itu, Razali antara lain menyebut anggota exco terbabit tidak layak meneruskan tugasnya sebagai pemimpin masyarakat Melayu Raub kerana terlibat dalam skandal penipuan, pergaduhan dan pecah amanah.
Anggota exco terbabit juga didapati membina sebuah 'mahligai' haram di simpang Kallang, Raub tanpa kelulusan plan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Selain itu, anggota exco terbabit juga dipercayai tidak menghalang pihak tertentu mengubah status Pusat Pengajian Al-Quran (Darul Quran) berhampiran Masjid Abu Bakar, Raub menjadi sebuah Restoran Cina.
Orang ramai percaya, dengan pengaruhnya yang ada, anggota exco tersebut mampu mengekalkan status Pusat Pengajian Al Quran itu demi menjaga maruah umah Islam tetapi ia tidak dilakukan olehnya menyebabkan perubahan status kepada pusat itu berlaku.
Beliau bukan sahaja terlibat didalam kes penyalahgunaan kuasa tetapi juga terlibat dengan 'politik wang - rasuah' sehingga didapati bersalah dan diberi surat tunjuk sebab oleh Lembaga Disiplin Umno.
Bagaimanapun beliau diselamatkan oleh pemimpin tertentu yang merayu bagi pihaknya menyebabkan beliau terlepaskan daripada hukuman.
Tokoh Umno terbabit juga terlibat dalam isu membida nombor plat kenderaan bernilai tinggi bersama seorang lagi anggota exco kerajaan negeri yang heboh suatu ketika dahulu apabila Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakub dilaporkan kononnya memberi kata dua kepada anggota exco terbabit sama ada meneruskan bidaan atau melepaskan jawatan sebagai exco.
Turut disentuh didalam laporan Razali kepada polis termasuklah isu penyalahgunaan nama Yayasan Raub untuk memohon tanah seluas 3000 ekar di Bukit Kajang, Raub pada tahun 1996.
Tanah itu kemudianya dipecah lot untuk dijual kepada bukan Bumiputera. Tanah sama turut dimohon oleh penduduk kampung melalui Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) serta Lembaga Kemajuan Perusahan Pertanian (LKPP).
Anggota exco terbabit yang juga ahli lembaga pengarah Yayasan Raub turut terbabit dengan sebuah syarikat bernama Coralfare Sdn Bhd. Coralface didakwa memperdaya Yayasan Raub dengan memindah milik tanah seluas 10 ekar didalam bandar Raub dari Yayasan Raub kepada Coralface Sdn Bhd.
Selain itu, Umno juga dijangka akan menyenaraikan kembali bekas Timbalan Menteri Besar Pahang, Dato' Hasan Arifin untuk bertanding di salam tahun Dun dalam kawasan Parlimen Rompin sebagai usaha untuk meningkatkan saingan parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.
Dalam pilihan raya umum 2004 lalu, Umno Pahang menggugurkan beberapa nama besar seperti Dato' Omar Othman di Dun Jelai, Dato' Hasan Arifin di Bukit Ibam dan Dato' Fauzi Abdul Rahman di Beserah.
0 comments:
Catat Ulasan