Selasa, 1 April 2008

Takutnya Umno, bila halang program kenduri rakyat

Basiron Abdul Wahab

KUANTAN, 31 Mac (Hrkh) - Yang Dipertua Kawasan Inderamahkota, Nasrul Amir Abdullah menyifatkan kegagalan pihak berkuasa memberi kebenaran kepada PAS menggunakan Dewan orang ramai bagi program bukan politik membuktikan tiadanya perubahan minda di kalangan pihak berkuasa.
Katanya, walaupun rakyat telah memberi mesej dalam pilihan raya 8 Mac lalu, ia tidak mengubah pendekatan dan pemikiran pihak berkenaan dalam melayani rakyat dengan mengekalkan sikap bermusuh.
Menurutnya, PAS memohon untuk menggunakan dewan orang ramai di Pekan Balok untuk program kenduri rakyat.
"Ia adalah program kenduri bukannya ceramah politik yang sangat ditakuti Umno, tiada sebab bagi mereka untuk menghalang program seperti itu diadakan di dewan orang ramai.
"Ia tidak jauh berbeza dengan kenduri kahwin sahaja,"katanya ketika berucap pada majlis kesyukuran bagi PAS kawasan Inderamahkota di Markas Tarbiyah PAS Kawasan Inderamahkota (Putra), Sabtu lalu.
Beliau berkata, segala kesukaran, kesakitan dan kecederaan yang dialami oleh petugas PAS sepanjang pilihan raya lalu sebenarnya turut dirasai sama oleh Umno/BN.
"Jika kita sakit tercedera, percayalah mereka juga (BN) turut mengalami kesakitan serupa malah lebih lagi, jika kita susah mereka lebih susah lagi,"jelasnya.
Pada majlis sama Nasrul turut menyampaikan cenderahati kepada PAS Cawangan yang menang dalam pertandingan Kempen Kibar Bendera sempena pilihan raya umum ke-12 lalu iaitu PAS Cawangan Cengal Lampong, Balok dan Balok Makmur. - mks.

0 comments: